Wednesday, November 5, 2014

Pemilik Kedai Warisan Masuk Berita KOSMO

AHMAD HAZUAN HASMI, Hazuan Pandai besi itulah jolokan buat pemilik blog Kedai Warisan.Blogspot.com ini.

Berita daripad KOSMO!

SEORANG pemuda, Ahmad Hazuan Hasmi yang lengkap berpakaian seperti seorang pendekar kelihatan begitu khusyuk mengikir dan menajamkan sebilah pisau belati.
Selepas berpuas hati dengan ketajaman pisau tersebut, Ahmad Hazuan, 29, mengeluarkan pula beberapa senjata lain hasil kerja tangannya sendiri seperti parang dan pedang.
Bagaimanapun, senjata yang paling mencuri tumpuan para pelancong adalah keris kerana setiap keris mempunyai perbezaan dari segi saiz, keluk dan pamor.
Meskipun terdapat keris yang ti­dak memiliki ciri-ciri seperti itu, ia tetap dianggap unik kerana dicip­ta secara berpasangan bersama sa­rungnya.
Anak kelahiran dari Kampung Datuk Kayaman, Perlis itu kemudiannya melakukan demonstrasi untuk menguji ketajaman senjata-senjata tersebut dengan menghiris sehelai surat khabar lama hanya dengan satu hirisan.
Selain itu, beliau turut mendemonstrasikan pro­ses-proses membuat keris seperti menempa, membentuk, mengikir dan menyepuh.
Senjata tradisi
Ahmad Hazuan berkata, proses untuk menghasilkan sebilah keris sangat berbeza kerana bergantung kepada saiz, keluk dan pamor. Malah, anggaran masa untuk menghasilkan sebilah keris mungkin memakan masa lebih daripada lapan bulan.
“Pembuatan keris ini bukan satu kerja yang mudah kerana keris ialah sejenis senjata tradisi dan cara pembuatannya pula memerlukan seni.
“Senjata lain seperti pisau dan parang lebih mudah untuk dihasilkan kerana ia merupakan senjata bagi kegunaan harian,” ujarnya yang telah menceburkan diri dalam bidang pembuatan keris selama lapan tahun.
Menurutnya, harga keris berbeza-beza bergantung kepada saiz dan ukiran seninya. Sebilah keris berharga antara RM1,000 hingga RM5,000.
Ahmad Hazuan turut menerima tempahan daripada pelancong dari dalam dan luar negara terutama dari Perancis dan Belanda.
Mengimbas perjalanan karier Ahmad Hazuan, beliau dahulunya merupakan seorang ahli perbankan sebelum menceburkan diri sepenuhnya dalam pembuatan keris pada tahun 2006.
Menurutnya lagi, mengumpul senjata merupakan sebahagian daripada hobinya sejak remaja lagi. Oleh kerana minatnya yang mendalam, beliau sanggup mencari pakar membuat senjata.
Beliau juga berasa bertuah kerana berpeluang mempelajari ilmu pembuatan senjata daripada seorang tok guru yang dikenali sebagai Sahabudin Bakar.
Tambahan pula, beliau tidak hanya belajar membuat keris tetapi lengkap dengan pembuatan hulu dan sarung keris daripada tok gurunya yang berasal dari Perlis.
Empat tahun kemudian, Ahmad Hazuan mula menghasilkan senjata buatan sendiri secara berperingkat bermula de­ngan parang dan pisau sebelum mempamerkan kemahiran tinggi menghasilkan keris.
Bekas pelajar Universiti Utara Malaysia dalam bidang Pentadbiran Perniagaan itu kini dianggap sebagai ‘orang pandai besi’ iaitu seseorang yang mahir dalam penghasilan belati.
Setakat ini, antara senjata buatannya terdiri da­ripada pisau, parang, keris, pedang, sundang, lembing dan tumbuk lada.
Berdasarkan kemahirannya itu, beliau dijemput untuk menunjukkan hasil kerja tangannya buat pertama kali di Muzium Negara bersempena dengan Pameran Evolusi Senjata dan Kemanusiaan Sedunia baru-baru ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1028&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm##ixzz3IBUbCmQt 
Hakcipta terpelihara